Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kewangan dan Ekonomi
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 26 Januari. - Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengadakan Majlis Sambutan Israk Mikraj bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.
Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap, Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank, Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian berserta pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di dalamnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan disusuli dengan penyampaian satu ceramah khas yang bertajuk 'Sembahyang Teras Modal Insan Cemerlang' sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Khas bagi kesihatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam oleh Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin.
Majlis ini merupakan salah satu aktiviti tahunan keagamaan Kementerian Kewangan dan Ekonomi yang bertujuan untuk memperingati dan membesarkan peristiwa Israk dan Mikraj, di samping mengeratkan hubungan silaturahim di antara pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di dalamnya.
Majlis pada tahun ini diselenggarakan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.